Nilai sebuah kemaafan
>> Saturday, May 26, 2018 –
self reflection
Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia fitrahnya sentiasa berteman khilaf. Yang selalu kalah dengan ujian yang Allah beri. Kita ini manusia, yang selalu bersembunyi di balik dinding bernama mangsa. Kita ini manusia, yang tidak mahu memaafkan hanya beralasan ‘kita bukan nabi, kita manusia biasa’ .
-
Kita sebenarnya lupa. Yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan.
-
Tersiratnya, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak, kita ini menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Nauzubillahiminzalik. Astagfirullah.
-
Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan bumi, sedia mengampunkan dosa hatta setinggi gunung. Sedangkan Allah, di dalam al-Quran berkali kali menegaskan yang dia Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Sedangkan Dia, yang mahu hambaNya memohon ampun walau berkali-kali melakukan dosa. Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain. Siapa kita? Siapa?
-
Benar, memaafkan memang tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, perlu apa kita mengeluh kesah?
-
Percayalah, bila mana memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang. Rasa damai. Rasa lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana kita tidak lagi menangisi sesuatu yang telah terjadi.
-
#usrahsantai
#USsharing