UTM lantik 100 kakitangan antarabangsa
JOHOR BAHRU 12 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan melantik 100 kakitangan antarabangsa yang berkelayakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bagi mengekalkan ekosistem intelektual di institusi tersebut.
Naib Canselornya, Prof. Datuk. Ir. Zaini Ujang berkata, pelantikan kakitangan tersebut akan dibuat sebelum Jun ini.
Menurutnya, pelantikan tersebut membolehkan lebih ramai kakitangan akademik yang akan menyelia mahasiswa pasca siswazahnya.
"Ia juga sejajar dengan matlamat UTM pada tahun ini yang menyasarkan peningkatan jumlah mahasiswa pasca siswazah kepada 8,000 orang.
"Sehingga kini sebanyak 43 peratus mahasiswa pasca siswazah dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di 63 institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini adalah pelajar UTM," katanya. - Utusan